Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2010/05/05
Sumber: Berita Harian Online

SYED Ahmad Abdul Hadi (tengah) bersama dua rakannya yang mengiringi perjalanannya sehingga Bangkok. SYED Ahmad Abdul Hadi (tengah) bersama dua rakannya yang mengiringi perjalanannya sehingga Bangkok. Ekspedisi motosikal Modenas GT 128 dari Thailand ke Nepal terpaksa guna kapal terbang
KUALA LUMPUR: Pengembara bermotosikal, Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien akan meneruskan ekspedisinya ke India seterusnya ke London dari Kathmandu, Nepal, esok atau Jumaat.
Pengembaraannya ke Nepal bagaimanapun perlu menggunakan kapal terbang berikutan tiada jalan darat dapat dilalui bagi meneruskan kembara dari Thailand ke Nepal.
Beliau yang kini berada di Thailand tiba di negara itu 24 April lalu, selepas menunggang motosikal kapcai Modenas GT 128 selama tujuh jam dari ibu kota.
Katanya, perjalanan ke Nepal tertangguh sembilan hari kerana perlu menguruskan penghantaran motosikalnya menggunakan kargo udara ke Kathmandu, yang mengambil masa lima hari bekerja untuk diselesaikan.
Syed Ahmad Abdul Hadi, 39, sebelum ini mengimpikan menjadi warga Malaysia pertama mengelilingi dunia dengan pesawat ringan dinamakan PutrajayaMalaysia, tetapi hasrat itu tidak kesampaian berikutan tragedi 11 September 2001.
Selepas sembilan tahun, dengan berbekalkan simpanan peribadi RM40,000, beliau nekad untuk mengembara ke London dengan menunggang motosikal Modenas GT 128 menerusi projek dinamakan `I Am Malaysian’.
Pengembaraan yang dijangka mengambil masa setahun setengah itu bermula pada 24 April lalu dengan merentasi 23 negara antaranya Thailand, Nepal, India, Turki, Serbia, Itali, Poland dan Perancis.
Mengulas perjalanannya ke Bangkok, beliau bersyukur kerana tidak menempuh masalah sepanjang perjalanan sejauh 700 kilometer.
“Saya dinasihatkan penduduk tempatan supaya berhati-hati di sana berikutan tunjuk perasaan kumpulan Baju Merah ketika ini. Saya juga dinasihatkan tidak mengambil gambar menggunakan kamera jenis XLR kerana dikhuatiri akan dicederakan berikutan dianggap sebagai wartawan,” katanya.
Beliau berkata, dia terpaksa berjimat cermat kerana perjalanan masih jauh dan berharap ada pihak yang sudi menaja kembaranya.
“Namun, saya berbangga kerana dapat mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang kembara ini,” katanya.