News: Kembara solo ke 27 negara (H/Metro)

Salam. Berita hari ini di Harian Metro:

Kembara solo ke 27 negara
Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my
2010/04/23

KUALA LUMPUR: Berbekalkan hanya sehelai seluar, kain pelekat dan dua helai kemeja-T seorang pengembara bebas, Mohd Hadi Hussien, 39, bersedia menjelajah 27 negara menaiki motosikal ‘kapcai’ dan memastikan impiannya tercapai.

Motosikal Modenas GT128 dengan nombor plat QSM17 digunakan itu hanya motosikal biasa digunakannya ke tempat kerja setiap hari, namun dengan semangat tinggi dia yakin mampu melakukan pengembaraan itu.

Tidak sabar memulakan jelajahnya, Mohd Hadi mensasarkan enam jam perjalanan sehari dengan motosikal berkuasa 128cc bermula esok.

Antara negara bakal dilalui termasuk Thailand, Nepal, India, Pakistan, Iran, Turki dan beberapa negara Eropah, kembara dijangka memakan masa empat bulan itu bakal berakhir di London.

Acara pelepasan kembara itu disiarkan secara langsung menerusi TV9 dari Sri Pentas pada jam 9.40 pagi esok.

Mohd Hadi ketika ditemui berkata, dia membuat persediaan awal selama enam bulan.

Katanya, segala kos sepanjang pengembaraan itu ditanggung sendiri berikutan ramai tidak yakin dia mampu melakukan pengembaraan dianggap agak mustahil itu.

“Keadaan ini sedikitpun tidak melemahkan semangat saya, malah membuktikan saya mampu melakukan kembara itu sendirian walaupun masih mengharapkan tajaan daripada mana-mana pihak dan terus menyokong saya.

“Saya sedar mungkin sesetengah orang berpendapat tidak masuk akal saya melakukan kembara ini dengan hanya menaiki motosikal biasa yang belum tentu dapat bergerak lebih jauh.

“Sebagai seorang yang sukakan cabaran, saya yakin saya boleh melakukannya kerana sebelum ini saya pernah melakukan kembara menaiki kereta dan motosikal tetapi kembara kali ini lebih mencabar kerana saya harus merentas banyak negara dalam masa hanya empat bulan.

“Pastinya setiap negara yang saya lalui akan saya pelajari pelbagai bahasa dan saya dengan bangganya akan mengibarkan bendera Malaysia dan melaungkan ‘Saya Anak Malaysia’,” katanya.

Kredit: Harian Metro

Flag-off updates

Di jemput semua bikers yang mempunyai kesempatan dan keluangan masa untuk bersama sama meramaikan semasa Majlis Pelepasan (Flag-Off) Saudara Hadi Hussein yang akan mengembara dari Malaysia ke London menaiki MODENAS GT 128 pada hari Sabtu ini (24hb April 2010) bertempat di Perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama (Ibu pejabat TV3)

Majlis Pelepasan akan disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Dato Ahmad Bin Abdul Talib, Pengarah Eksekutif Media Prima serta En Bastamam Hamzah, Ketua Pengarah Eksekutif MODENAS..

Dijemput juga para bikers untuk berkonvoi bersama Sdr Hadi dari perkarangan Sri Pentas hingga ke tol Sg Buluh dimana Sdr Hadi akan menuju ke arah Utara dan bikers bikers lain boleh bersurai di persimpangan tersebut. Kalau nak eskot sampai border pun boleh..apa salahnya..

Untuk pengetahuan anda semua juga, pada hari Sabtu berkenaan juga anda yang akan hadir dapat bersama sama dengan WINGS & SEARCH yang akan berada di sana juga bagi mempromosikan Konsert Double Trouble..

Diharapkan rakan rakan bikers dapat menyebarkan info ini kepada semua rakan rakan bikers yang lain…terimakasih.

Design a site like this with WordPress.com
Get started