Lagi berita saya petik dari Berita Harian Online:
Belanja simpanan RM40,000 naik motosikal Modenas kelilingi dunia
23/04/10

HADI tunggang motosikal Modenas untuk mengelilingi dunia.
HADI tunggang motosikal Modenas untuk mengelilingi dunia. KUALA LUMPUR: “Saya membelanjakan wang simpanan sebanyak RM40,000 untuk merealisasikan impian mengelilingi dunia merentasi Asia, Asia Barat dan Barat menunggang motosikal yang digunakan ke pejabat setiap hari,” kata Hadi Hussien.
Beliau berkata, walaupun perjalanan melalui 23 negara menunggang motosikal ‘kapcai’ Modenas GT 128, antaranya Thailand, Nepal, Turki, Serbia, Itali, Poland dan Perancis itu gagal mendapat tajaan mana-mana pihak, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mengibarkan bendera Malaysia di sana.
// //
“Saya akan menunggang motosikal pendaftaran QSM 17 selama enam jam sehari bermula Sabtu ini dalam siri pengembaraan sejauh 30,000 kilometer untuk mengibarkan Jalur Gemilang, selain membuktikan motosikal keluaran tempatan tidak kurang hebatnya,” katanya semalam. Hadi, 39, berkata, inspirasi pengembaraan itu datang selepas sering bertugas ke negara yang dilanda kesempitan hidup akibat pergolakan atau bencana alam ketika bekerja dengan pertubuhan antarabangsa.
“Atas amanah yang diberikan rakyat Malaysia, saya dan pasukan menggadai nyawa menghantar bekalan makanan dan pakaian kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan ketika itu, saya benar-benar bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia yang aman damai,” katanya.
Hadi berkata, secara fizikalnya beliau bersedia apabila semua keperluan penjelajahan sudah disiapkan termasuk mengambil beberapa suntikan yang diwajibkan untuk mengelak penyakit, selain menyelenggara motosikalnya.
“Jaket dan but yang akan saya pakai ditempah dari Eropah yang kalis hujan dan dilengkapi ciri keselamatan seperti pelapik untuk mengelakkan kecederaan jika berlaku kemalangan manakala motosikal saya juga telah siap diselenggara,” katanya.
Ketika pengembaraan, beliau akan memaparkan perbezaan budaya, bangsa, agama dan sosio ekonomi negara terbabit melalui blognya, iaitu iamalaysian.com dan laman sosial sembang Facebook, selain mengemaskini aktivitinya untuk maklumat orang ramai.